KOTA KINABALU, 15 Jan — Lebih dari suku penduduk Sabah adalah pendatang, seorang pakar statistik memberitahu inkuiri Suruhanjaya Di-Raja (RCI) tentang pendatang tanpa izin hari ini.
Pengarah Jabatan Statistik Sabah Norezan Wahid berkata hari ini sejumlah 889,000 orang asing dari 3.2 juta penduduk Sabah, atau 28 peratus, berdasarkan bancian tahun 2010.
"Kita tak pasti sama ada mereka ini sah atau tidak," kata Norezan dalam inkuiri RCI hari ini.
Beliau menambah pegawai banci tidak mempunyai kuasa untuk bertanya tentang dokumen menunjukkan mereka adalah warga negara.
"Dalam bancian, kita tanya dua soalan, sama ada anda warganegara atau bukan," katanya lagi.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahagian kewarganegaraan Nik Norashikin Nik Mansur berkata 66,682 orang di Sabah menerima kewarganegaraan Malaysia dari 1864 hingga Oktober 2012.
Beliau berkata 38,000 dari Malaysia, 13,000 dari China, 7,000 dari Indonesia, selebihnya dari Filipina, Hong Kong dan lain-lain negara.
"Kenapa Malaysia angka tertinggi? Kerana mereka lahir di Malaysia dan mereka tidak ada negara asal. Jadi, negara asal mereka ditulis sebagai Malaysia," kata Nik Norashikin.
Nik Norashikin berkata menteri dalam negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kewarganegaraan.
Beliau menambah sijil kewarganegaraan disimpan di pusat pengurusan JPN.
"Kita simpan semua rekod dalam sistem, tetapi ada yang tidak lengkap dari 2003 hingga sekarang. Yang ada sekarang ialah dalam bentuk fizikal dan masih dimasukkan dalam sistem," katanya lagi.
Inkuiri yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung esok. TMI
Tidak ada komentar:
Posting Komentar