Jumat, 28 Februari 2014

Jawatankuasa Khas Bina Lorong Khas Motosikal


KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa khas telah ditubuh untuk mengkaji pembinaan lorong khas motosikal di semua lebuh raya memandangkan buat masa ini hanya beberapa lebuh raya sahaja menpunyai lorang khas untuk motosikal.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata antara kajian yang dijalankan termasuk kategori motosikal yang dibenarkan berada di lebuh raya mengikut kapasiti enjin (CC) dan keluasan lorong khas yang ingin dibina bagi memuatkan pelbagai jenis saiz motosikal termasuk yang berkuasa tinggi dan bersaiz besar.

“Apabila timbulnya masalah dasar untuk melindungi motosikal yang berada di lebuh raya, contohnya kenderaan laju di lebuh raya boleh menyebabkan motosikal bersaiz ‘kapcai’ 75 CC terkena angin kuat lalu mengalami keadaan yang tidak seimbang. “Selepas jawatankuasa itu mendapat tinjauan kajian, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan semua anggota Parlimen sama ada motosikal akan dikenakan kadar tol ataupun kategori motosikal yang dibenarkan berada di lebuh raya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dalam persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Bung Mokhtar ingin mengetahui sama ada penyelarasan dibuat oleh kementerian untuk mewajibkan semua motosikal menggunakan lorong khas yang disediakan di lebuh raya supaya keselamatan mereka terjamin.
Menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) mengenai motosikal berkuasa tinggi yang tidak perlu membayar tol di lebuh raya, Fadillah berkata bayaran tol tidak ditentukan mengikut kapasiti enjin (CC) kenderaan sebaliknya berasaskan kepada kelas atau jenis kenderaan itu.

Katanya, motosikal berkuasa tinggi tidak dikenakan bayaran tol kerana ia termasuk di bawah kategori kenderaan dua roda yang dikecualikan daripada kutipan tol.

“Ini termaktub dalam hampir semua perjanjian konsesi lebuh raya, kecuali di Lebuhraya Linkedua Malaysia-Singapura (Plaza Tol Tanjung Kupang), dan Jambatan Pulau Pinang yang mana motosikal turut dikenakan tol,” katanya.

Katanya, penetapan bayaran tol untuk kelas atau jenis kenderaan ini adalah berasaskan Akta Jalan-jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) 1984. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar